Home/ Pressroom/ News + Stories

Pressroom

News + Stories

Ucapan Tetamu Terhormat

04/04/2005

Speech in Malay by Mr Yatiman Yusof at the Majlis Pelancaran Festival Anak Cemerlang

UCAPAN YATIMAN YUSOF, SETIAUSAHA PARLIAMEN KANAN (PENERANGAN, PERHUBUNGAN DAN KESENIAN) MERANGKAP PENGERUSI BERSAMA RANGKAIAN PEMBANGUNAN KELUARGA DI MAJLIS PELANCARAN FESTIVAL ANAK CEMERLANG ANJURAN BERSAMA JUST PARENTING ASSOCIATION DAN LEMBAGA PENTADBIR MASJID KAMPUNG SIGLAP DENGAN SOKONGAN KEMENTERIAN PEMBANGUNAN MASYARAKAT, BELIA DAN SUKAN, MAJLIS UGAMA ISLAM SINGAPURA DAN MAJLIS PEMBANGUNAN MASYARAKAT TENGGARA 1 APRIL 2005, 8.00 MALAM, DI LELAPANG STESEN MRT EUNOS

Presiden Just Parenting Association,
Pengerusi Lembaga Pentadbir Masjid Kampung Siglap,
Para anggota jawatankuasa penganjur,
Hadirin dan hadirat sekelian

Assalamua'laikum Wr Wb

Pertama sekali izinkan saya mengucapkan terima kasih kepada LPM Siglap dan Just Parenting Association kerana sudi mengundang saya untuk bersama anda pada malam ini.

Majlis ini diadakan bertepatan pada waktunya memandangkan munculnya cabaran baru yang kian membesar dalam perihal kehidupan social masyarakat kita.

Masyarakat Melayu-Islam Singapura hari ini telah berjaya mencapai beberapa kejayaan yang membanggakan di dalam bidang pendidikan dan kerjaya. Kita sudah mula melihat anak-anak kita menjawat kedudukan dalam bidang-bidang yang sebelumnya tidak terceburi, termasuk bidang biosains dan biomedical. Jumlah mereka yang mencapai kejayaan PSLE, GCE peringkat 'O', 'A' dan juga politeknik dan universiti terus meningkat. Masalah penagihan dadah yang menghantui kita selama lebih tiga dasawarsa juga telah dapat ditangani dengan baik dengan surutnya jumlah penagih Melayu kita.

Namun, ini tidak bermakna kita telah terlepas dari cengkaman penyakit masyarakat. Kita masih berdepan dengan masalah tingginya kadar perceraian, ibu bapa tunggal yang terkapai-kapai, meningkatnya kenakalan remaja, bertambahnya kumpulan geng belasan tahun dan pelibatan orang kita dalam jenayah.

Di samping masalah-masalah ini, muncul pula satu lagi gejala masyarakat yang amat membimbangkan semua pihak, terutama ibubapa. Ia adalah masalah keseksualan dan kehamilan remaja. Tidak seperti masalah penagihan dadah; si penagihnya dapat dikesan dari segi jasmani dan perilaku mereka seperti kesan-kesan tusukan jarum, penampilan yang kusut, kehilangan akal, tindak-tanduk ketagihan yang ganas dan sebagainya, kesan bagi gejala yang merundung kita ini agak sukar dikesan.

Ia hanya diketahui apabila terdapat tanda-tanda tertentu seperti kehamilan dan jangkitan penyakit seperti AIDs dan penyakit kelamin berjangkit yang lainnya.

Gejala ini berlaku secara tidak disedari, tanda-tandanya tiada terlihat pada peringkat awal dan tidak dapat dikesan sehingga pelakunya menghadapi masalah fisikal, emosi dan perubatan. Ianya juga tidak mudah dikesan kecuali melalui pemeriksaan perubatan.

Dan apabila ianya berlaku, ia amat memalukan si empunya diri. Rancangan masa depannya tergendala. Nama baik keluarga tercemar. Bukan setakat itu, masyarakat turut menderitai keruntuhan moral dan hakisan nilai murni, keluarga menghadapi krisis keutuhannya dan negara dibebani dengan masalah menangani keluarga mentah yang serba tidak mampu. Jika masalah ini tidak ditangani dengan berkesan keluarga yang menjadi tunggak kekuatan negara lemah, maka kelangsungan hidup sesebuah negara boleh terancam. Sejarah telah membuktikan bahawa tamadun yang agung juga boleh lumpuh dek kerapuhan akhlaq dan moral masyarakatnya.

Kita bimbang dan prihatin kerana perangkaan menunjukkan gejala seks di kalangan remaja di sini meningkat pada kadar yang besar. Bilangan remaja Melayu yang hamil melonjak naik 43 peratus. Dari purata kurang dari 300 kelahiran di sepanjang 1995 hingga 1997, ianya naik menjadi 431 dalam tahun 2002. Dan angka ini dijangka terus meningkat sekiranya tindakan segera tidak diambil oleh semua pihak.

Seperti yang didedahkan oleh Prof Madya Yacob Ibrahim pada minggu lalu, jumlah pengantin perempuan bawah umur 21 tahun juga telah meningkat di kalangan masyarakat Melayu-Islam. Dalam tahun 2003, jumlah pengantin perempuan Islam mencecah 13 peratus dibandingkan 3 peratus bagi pengantin bukan-Islam. Kajian-kajian lain menunjukkan 40 peratus daripada remaja semuda usia 12 dan 13 tahun sudahpun berpacaran, dan 4 peratus golongan ini pernah mengadakan hubungan seks.

Pemerintah memandang serius akan perkembangan ini. Pelbagai usaha telah dijalankan untuk membantu masyarakat, keluarga, ibubapa dan remaja untuk memahami dan menangani masalah ini. Pembentukan Rangkaian Pembangunan Keluarga adalah salah satu daripada inisiatif-inisiatif tersebut. Kempen-kempen pendidikan keseksualan juga telah dipertingkatkan. Penerbitan Doku-drama 'Hanyut' yang mendapat sambutan amat baik adalah adalah antara usaha menarik anggota masyarakat mengongsi sama akan isu-isu ini.

Rangkaian Pembangunan Keluarga atau Family Development Network (FDN) juga melancarkan video pendidikan keseksualan bertajuk 'Cakap Pasal Seks' yang disasarkan kepada para remaja dan juga ibubapa. Sebentar lagi anda sekelian berpeluang untuk menonton VCD 'Cakap Pasal Seks' (Bahagian 1) untuk remaja. Malam esok, anda akan menikmati Bahagian 2 yang ditujukan khas kepada para ibu dan bapa.

Banyak lagi usaha harus dijalankan oleh semua untuk sama-sama meningkatkan kesedaran terhadap gejala seks ramaja ini. Namun, kita perlu bertindak melebehi sekadar menanam kesedaran. Segala usaha yang dilaksanakan oleh pamerintah, pihak sekolah, badan-badan bantu diri dan pertubuhan setempat sama ada melalui program tertentu atau media massa tidak akan berkesan tanpa penyertaan aktif para ibu dan bapa serta belia kita. Paling banyak ia sekadar menyedarkan umum akan masalah ini. Saya berpendapat bahawa penyelesaian bagi masalah ini hanya akan berhasil jika ibu bapa dan para belia sendiri menjadi bahagian terpenting dalam rangkain usaha murni ini. Kita perlu melaksanakan langkah yang berkesan seperti kata perumpamaan "seperti kunyi dengna kapur". Andalah kunyit dan andalah kapurnya.

Akhir sekali, syabas saya ucapkan kepada Lembaga Pentadbir Masjid Kampung Siglap, sebagai anggota kerabat Rangkaian Pembangunan Keluarga (FDN), kerana telah menganjurkan Festival Anak Cemerlang 2005 ini bersama-sama dengan Just Parenting Association.

Tahniah kepada pihak penganjur kerana telah mendapat sokongan dari pelbagai pihak termasuklah Kementerian Pembangunan Masyarakat, Belia dan Sukan, Majlis Ugama Islam Singapura, Yayasan Lee dan Majlis Pembangunan Masyarakat Tenggara. Begitu juga dengan pelibatan Yayasab Mendaki, AMP, Action for AIDs (AFA), AWARE, NLB, Home Team Bahagian Timur, Palang Merah dan lain-lain lagi. Kepada badan-badan atau agensi ini saya ucapkan terima kasih.

Semoga dengan adanya usaha serupa ini saya berharap masyarakat Islam akan dapat memanfaatkan pelbagai program dan menyertai sama dengan giatnya usaha membanteras masalah ini.

Dengan harapan sedemikian, secara rasminya melancarkan Festival Anak Cemerlang 2005.

Growing businesses with ICT News, Speeches - 18 Aug 05
Speech by Dr Lee Boon Yang for the Opening of the National Day Painting Exhibition at the Singapore Polytechnic Convention Centre News, Speeches - 16 Aug 05
Embracing the Opportunities and Challenges of Technological Advancement News, Speeches - 15 Aug 05
Harnessing digital tech to enhance Indonesia-S'pore cooperation News, Speeches - 15 Aug 05
Speech By Dr Balaji Sadasivan at Muthamizh Vizha Organised By The Association Of Singapore Tamil Writers at Jubilee Hall, Raffles Hotel News, Speeches - 15 Aug 05
Creative Youth Xchange @ Gallery Hotel announces details News, Press Releases - 11 Aug 05